Wednesday

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Pada ketika zaman pasca kemerdekaan negara Malaysia, industri pelancongan kurang di beri perhatian atau penekanan oleh pihak kerajaan kerana kerajaan lebih menumpukan terhadap pembangunan infrastruktur negara dan kestabilan negara. Ketika itu juga kerajaan lebih menumpukan sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah yang menjadi hasil utama dan kerajaan tidak sedar akan peranan industry pelancongan juga akan membawa kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Walaubagaimanapun, industri pelancongan di Malaysia telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an dengan kewujudan Penubuhan Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.
Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industry pelancongan negara. (Azizan Marzuki, 2010).

Kejayaan pembangunan dalam industri pelancongan dapat dilhat melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat. Malahan sumbangannya masih terus meningkat lagi selepas kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara dan seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pada tahun ini juga kerajaan telah mengambil inisiatif dalam mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas seperti menaiktaraf jeti, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang kian bertambah. (Unit Perancang Ekonomi, 1991). Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Kenyataan ini dapat dilihat dengan lebih terperinci pada Jadual 1 yang menunjukkan statistik ketibaan pelancong dan pendapatan daripada pelancongan daripada tahun 1998 sehingga tahun 2008. (Malaysia,2001)

TAHUNKETIBAAN PELANCONG (JUTA)PENDAPATAN (RM JUTA)
19985.508,580.5
19997.9312,321.3
200010.2217,335.4
200112.7824,221.5
200213.2925,781.1
200310.5821,291.1
200415.7029,651.4
200516.4031,954.1
200617.4536,271.1
200720.9046,070.0
200822.0049,561.2
Jadual 2.1. Ketibaan pelancong dan pendapatan daripada pelancongan, 1998-2008

Menurut petikan dari MStar (2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun 2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.

Purata kedatangan pelancong ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan demi peningkatan walaupun terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa yang terkini yang menimpa Malaysia adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya. Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).

Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar negara
selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum dengan menyumbang sebanyak RM36.9 bilion kepada Keluaran Negara Kasar (KNK). Unit Perancangan Ekonomi (2010) Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong. Hal ini menunjukkan bahawa sejak awal tahun 80-an sehingga kini erhatian kerajaan terhadap sektor tersebut dapat dibuktikan dengan peruntukan kewangan dan pelaburan yang dibelanjakan seperti Jadual 2.2 (Azizan Marzuki, 2010)

RANCANGAN MALAYSIA 5 TAHUNPERUNTUKAN (Juta)
1Rancangan Malaysia Pertama (1965-1970)Tiada peruntukan
2Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975)RM 8.59
3Rancangan Malaysia Ke-3 (1976-1980)RM 27.19
4Rancangan Malaysia ke-4 (1981-1985)RM 40.00
5Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990)RM 140.00
6Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1995)RM 533.90
7Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000)RM 605.50
8Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005)RM 1009.00
9Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010)RM 1847.90
Jadual 2.2 Peruntukan Dana Pembangunan Pelancongan Malaysia


No comments: